*Renungan berdasarkan apa yang diperhatikan dalam situasi hari ini*
Berdosa dengan mengikuti hasutan nafsu. Ditampar dengan
gelora nafsu membuak-buak bukan sesuatu yang aneh dan kekadang berlaku. Dan
begitu juga kebiasaannya tak mampu menendangnya kembali. Bukan fizikal diriku
yang lemah, tetapi rohaniku. Adakah aku diciptakan untuk menjadi insan yang
lemah rohani? Erm.. aku mengalah dengannya. Mengapa pula aku menjadi begitu?
Bukankah aku lelaki dan juga mampu mematahkan semua itu? Iye, aku adalah
lelaki. Nafsu adalah musuh yang tidak seharusnya dipersatukan dengan aku,
walaubagaimanapun nafsu itulah diciptakan Allah untuk manusia. Kebijaksanaan
manusialah yang mampu melawannya. Manusia yang rakus pada nafsu yang melampaui
batas adalah manusia yang tak bijaksana dalam mengendalikan nafsunya itu.
Adakah nafsu itu kuat atau lemah berdasarkan jantina? Bukan.
Ianya bergantung kepada kekuatan iman. Teringat pula ustaz/ustazah cerita dan
ajarkan kepada kami (Waktu sekolah dulu-dulu). Mereka banyak ajarkan tentang
konsep taqwa. Definisi mudah mereka ajar adalah takut kepada Allah. Perkataan
‘takut’ itulah kami hafal. Ingat taqwa, ingat ‘takut’. Secara panjang lebarnya,
taqwa bererti takut kepada Allah dengan membuat apa yang disuruh-Nya dan
meninggalkan apa yang ditegah-Nya. Jadi, apa kaitannya di sini, antara taqwa
dan nafsu? Inilah yang menjadi titik mula seseorang untuk buat sesuatu perkara.
Maknanya, seseorang akan mempunyai konflik diri yaitu taqwa vs nafsu. Taqwa itu
kekuatan. Bagaikan ilmu persilatan (seni mempertahankan diri), yang kuat
melawan segala apa yang berbahaya jika kita mempunyainya dan lemah jika kita
tanpanya. Begitu juga dengan nafsu, jika kita tiada kekuatan (taqwa) dalam
diri, maka kita hanya menuruti kehendaknya.
Adakah nafsu itu menandakan kita (manusia) itu lemah dan
hina? Bukan. Nafsu itu tanda kemuliaan. Bukan nafsu itu kemuliaan tetapi
penciptaan kita disertakan nafsu dalam diri itulah kekuatan. Sebab itulah
manusia ini lebih elok ciptaannya berbanding malaikat, Jin, syaitan dan
makhluk-makhluk lain. Memang ada orang cakap kalau baik kelakuan (perbuatan)
seseorang itu, mereka akan cakap, ‘Baiknya kau, macam Malaikat’ dan kalau buruk
perangainya, mereka akan cakap, ‘Jahatnya kau, macam syaitan’. Tetapi harus
diingat, bukan Malaikat dan iblis itu sifatnya tetapi sifatnya adalah baik dan
buruknya. Malaikat ialah makhluk Allah yang sentiasa taat akan perintah-Nya dan
syaitan ialah makhluk Allah yang merosakkan anak Adam (manusia). Syaitan yang
menjuruskan diri kita untuk ke arah gelora nafsu, lain pula Malaikat yang
menjurus kita untuk kea rah taqwa (jika kita punyai ilmu dan akal fikiran yang
waras).
Ya Allah, aku kembali. Gelora nafsu itu aku dapat patahkan
dengan iman dan ilmu yang aku tuntut selama ini. Tetapi hanya dengan-Mu aku
meminta kekuatan untuk melawan nafsu-nafsu jahat itu. Begitu juga dengan musuh,
hanya kekuatan fizikal dan mental mampu melawan. Jika fizikalnya sahaja, ia
tidak mencukupi. Tetapi jika kita hanya dengan mental kita hadapi musuh itu,
ianya juga tidak mencukupi. Bahkan, harus kita ingat Allah sahaja yang dapat
tentukan kita ini kuat ke tak. Oleh itu, kita harus memohon kekuatan
daripada-Nya. Memanglah jika kita berdepan dengan gelora nafsu, kita rasakan
kita ini kuat tetapi hakikat sebenar adalah ketika ‘sedang berdepan’ dengan
nafsu itulah menentukan kita ini kuat atau tak.
No comments:
Post a Comment